Ukhti,
Aku ingin bertanya satu perihal kepadamu.
Jawablah sejujurnya di hatimu.
Tak usah kau khabarkan kepadaku.
Ukhti,
Sepanjang waktu yang berlalu dalam hidupmu,
pernahkah kau berfikir untuk benar-benar berubah?
Berubah untuk benar-benar mencari redha-NYA.
Bukan hanya ikut-ikutan orang sekelilingmu.
Ukhti,
Waktu yang mendesak ini,
Tidak tahu kapan masanya ruh akan terpisah dari jasad,
Ambil sedikit tempoh,
Supaya kau dapat berfikir dengan jelas,
Akan matlamat dan arah tuju hidupmu.
Mungkin sudah tiba masanya,
Untuk kau berubah,
Dari seorang penyokong pasif
kepada pembela yang aktif.
Berfikir sedalamnya,
Bekerja sekerasnya,
Demi mencapai cinta-NYA,
Demi menggenggam janji-NYA.
Ya, sudah tiba masanya!
Untuk kita tinggalkan mainan-mainan si kecil,
Untuk kita tinggalkan kesenangan-kesenangan maya,
Demi untuk meraih cinta-NYA.
Cinta Ilahi yang dengannya nafas kita menderu,
Cinta Ilahi yang kerananya jantung ini berdegup,
Cinta Ilahi yang kerananya juga kita bisa mengecap
indah nikmat-NYA.
Ukhti,
Kau ada segala nikmat-NYA,
Tak terkurang sedikit pun,
Walau selalu kau merintih sedih
Tiada itu tiada ini.
Hakikatnya kau serba mewah!
Ukhti,
Jika benar ajal kita sampai sedetik lagi,
Bersediakah kau tinggalkan dunia ini?
Bersediakah kau untuk dihisab dan dihitung?
Bersediakah kau menjawab soalan-soalan terkumpul?
Ukhti,
Nanti bila ditanya,
Ke mana nikmatmu engkau pakai,
Ke mana kelebihanmu engkau guna,
Ke mana semua kurniaan-NYA kau arahkan,
Bagaimana agaknya bisa kau jawabnya?
"Tuhan,aku tak berdaya"
atau kau akan menjawab,
"Tuhan, aku khilaf" ??
Kau rasa cukup begitu kau terlepas?
Begitu cetek pemikiranmu!
Ukhti,
Waspada dengan akalmu.
Kelalaian itu selalu menyapa mereka yang tidak mahu berfikir.
Bukankah berfikir sesaat,
lebih baik dari beribadah setahun?
Gunakan akalmu sebaiknya.
Latih hatimu sesungguhnya.
Kerana dengan keduanya kita membina hidup kita.
Bukan setakat di dunia,
malah di akhirat sana.
Ukhti,
Berfikirlah sejenak.
Muhasabah itu perlu.
Moga kau tertunjuk dengan izin-NYA.
Wallahua'lam.
Sungguh, aku kasih kepada kamu akhawatku.. |